HomeBeritaHarga ayam sekitar RM5 sekilogram di Melaka - KPDN

Harga ayam sekitar RM5 sekilogram di Melaka – KPDN

 

MELAKA: Peniaga ayam di Melaka menjual ayam bersih dengan harga rendah sekitar RM5 untuk satu kilogram (kg).

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Rohaimi Mohamed Zawawi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan sejak pengapungan harga ayam dikuatkuasakan 1 November lalu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri berkata, pihaknya menerusi pasukan pemantau akan sentiasa memantau harga semua barangan keperluan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga ditetapkan.

“Harga ayam yang ditawarkan sekarang adalah rendah dan tidak melepasi harga RM9.40 kg, walaupun harga tidak lagi dikawal namun kami dapati tiada lagi caj yang tidak munasabah dikenakan oleh peniaga.

“Pada masa sama, kita dapati bekalan ayam masih banyak dan sudah pasti harga yang ditawarkan oleh penternak juga tidak tinggi menyebabkan peniaga dapat menjualnya dengan harga jauh lebih rendah berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin melakukan lawatan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di sebuah pasaraya di Banda Hilir, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya berkuat kuasa 1 November bagi mengurangkan ketirisan yang mana pada ketika ini turut dinikmati warga asing serta golongan berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Shoo Chin berkata, pemantauan harga ayam boleh didapati menerusi semakan di aplikasi PriceCatcher.

“Contohnya sekarang harga satu kg ayam bersih, ada premis yang jual serendah RM5 kg sehingga RM7 kg tapi tidak lebih daripada RM9.40 kg walau pun harga sudah diapung.

“Sebab itu pengguna perlu bijak untuk buat perbandingan supaya dapat mendorong peniaga menetapkan harga menjadi lebih rendah,” katanya. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor