KENYATAAN yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan musim tengkujuh bermula Sabtu ini nyata membuatkan orang ramai lebih bersiap siaga.
Malah, topik berkaitan cuaca yang kini tidak menentu di seluruh Malaysia turut menjadi bualan hangat warga net sehingga ada sebilangan pihak yang lantang menyuarakan keprihatinan mereka.
Lebih menjadi kebimbangan apabila sambutan perayaan Deepavali akan disambut pada hujung minggu ini iaitu pada Ahad ini, sekali gus memberi ‘cuti panjang’ kepada seluruh warga Malaysia.
Justeru, rata-rata warga net di aplikasi X tampil menyatakan keprihatinan mereka menerusi pesanan khas selaku langkah berjaga-jaga menempuh musim tengkujuh ini.
Antara yang menjadi perhatian adalah pesanan supaya orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti luar seperti mendaki gunung serta bercuti di kawasan tinggi seperti di Genting Highlands.
PSA : JANGAN PERGI CAMPING DEKAT LERENG BUKIT. JANGAN PERGI MANDI SUNGAI. JANGAN PERGI GENTING HIGHLANDS. SEBARKAN! https://t.co/VTRQ0dmWaD
— niskaynis (@kkkkayy11) November 7, 2023
“Cameron Highlands too! Ye tahu seronok sejuk musim hujan tapi jalan nak ke sana tu taciodddd,” tulis seorang pengguna aplikasi X di ruangan komen.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang menasihatkan orang ramai supaya elak beriadah di kawasan sungai dan air terjun kerana bimbang akan isu kepala air.
“Jangan mai mandi sungai kt uluyam/batang kali/kuala kubu/serendah. Hari hari hujan lebat kat sana. Tolong ek jangan mai mandi sungai,” pesan seorang netizen.
Pada masa sama, ada juga yang berseloroh memberi cadangan supaya luangkan cuti hujung minggu ini di kediaman sendiri.
“Cuti weekend ni buat aktiviti kt rumah jer.. cuci2.. kemas2.. makan2.. pasang khemah depan rumah..santai-santai,” cadang seorang netizen.
“Duduk di rumah, makan muruku & layan movie Tamil lakonan Rajinitkan,” seloroh warga net.
Justeru, tidak kira dimanapun anda berada utamakan keselamatan dan hati-hati memandu di jalan raya khususnya di kawasan berpotensi banjir.