HomeNiagaJualan Shopee cecah RM4.65 bilion pada 11.11

Jualan Shopee cecah RM4.65 bilion pada 11.11

 

PETALING JAYA: Shopee berjaya membuat rekod baharu dalam jualan globalnya setelah mencatat jumlah nilai dagangan sebanyak AS$1 bilion (RM4.65 bilion) pada 11 November lalu atau lebih dikenali sebagai 11.11 Jualan Hebat.

Ketua Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, ini adalah jualan terbesar syarikat yang pernah dicatatnya.

Lebih menarik, lebih 1.3 juta produk terjual dalam dua jam pertama ketika 11.11 Jualan Hebat.

“Kami amat menghargai rakan jenama, penjual, dan pembeli atas sokongan mereka selama ini di mana tanpa mereka, kami tidak akan mencapai kejayaan ini.

“Kami kekal berdedikasi untuk membawakan pengalaman membeli-belah terbaik dan inovasi berterusan untuk pengguna kami.

“Pemerkasaan strategik penjual tempatan juga memainkan peranan penting untuk membolehkan kami menyokong dan membolehkan perniagaan berkembang maju dalam ruang digital,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Produk fesyen mendominasi pencarian ketika hari kemuncak 11.11 yang mana kata kunci seperti ‘’kasut perempuan,’ ‘women’s blouse,’ ‘dress,’ ‘handbag,’ dan ‘sandal perempuan’ paling banyak dicari.

Produk penjagaan kulit, bersama pakaian wanita bersaiz besar dan barangan kemas merupakan barangan fesyen dan kecantikan juga paling banyak terjual.

Pada promosi berkenaan, rakyat di negara ini menikmati baucar penghantaran percuma, pelbagai tawaran dan diskaun menarik kempen ini untuk mendapatkan tawaran terbaik.

Selain itu, Shopee juga mencapai kenaikan 82 kali ganda pesanan Shopee Live terhadap penjual tempatan ketika 11.11 Jualan Hebat, menunjukkan kepentingan strim langsung sebagai ciri penting dalam ekosistem Shopee.

Shopee Live menawan rakyat dengan peningkatan 14 kali ganda penonton baharu. Pengguna tertarik dengan platform dengan promo menarik termasuk baucar diskaun 90 peratus dan keseronokan menyertai rancangan permainan Kotak Duit Misteri.

Pada tarikh tersebut Shopee Live juga merekodkan 40 juta keterlibatan, mengetengahkan kebolehan platform ini menarik dan mengekalkan perhatian pengguna.

Selain itu, lebih 15 kali ganda jenama di Shopee Mall menggunakan Shopee Live berbanding hari biasa, membolehkan mereka berkongsi ilmu produk, memupuk pertumbuhan komuniti, dan membina kepercayaan dengan pelanggan. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor