SEREMBAN: Seorang wanita mengalami detik cemas apabila disamun dua lelaki bertopeng bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Taman Bukit Seri Senawang di sini awal pagi tadi sebelum melarikan barang kemas serta wang tunai dianggarkan lebih RM10,000.
Mangsa, K.Tamilselvi, 39, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi, dia bersama anak perempuannya berusia sembilan tahun sedang tidur sebelum dua suspek memecah masuk melalui pintu dapur rumah ketika suaminya M.Gunasegaran, 47, keluar bekerja.
Tamilselvi berkata, dia menggigil ketakutan kerana pertama kali berhadapan dengan situasi cemas itu selain diugut oleh suspek supaya tidak menjerit atau akan dicederakan.
“Ketika sedang tidur dengan anak di dalam bilik, tiba-tiba leher saya diacukan parang. Saya memang tidak sedar bila mereka masuk ke dalam rumah.
“Mereka meletakkan parang pada leher saya dan mencekik anak sebelum bertanya di mana saya letak barang kemas sebelum menggeledah ke seluruh rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya Taman Bukit Seri Senawang di sini hari ini.
Memberitahu lebih lanjut, Tamilselvi berkata, perompak yang bertopeng itu juga telah mengikat tangan, kaki serta menutup mulut mereka berdua.
“Perompak telah menggeledah rumah saya kira-kira 45 minit dan mengambil dua rantai, dua cincin dan cincin yang saya pakai.
“Mereka kemudian keluar dan melarikan pula kereta jenis Perodua Bezza dan kunci rumah kami,” katanya.
Jelas Tamilselvi, salah seorang daripada suspek berbadan kurus dan tinggi manakala seorang lagi rendah dan berdasarkan bahasa yang digunakan dipercayai kedua-dua lelaki itu adalah warga tempatan.
“Saya berharap sangat pihak polis dapat menahan suspek dalam masa terdekat. Selepas susah payah kami mengumpul wang, mereka dengan senang sahaja datang merompak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaran berkata, ini kejadian kedua yang berlaku di kawasan perumahan itu dan meminta penduduk supaya berwaspada serta meningkatkan tahap keselamatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Mohd. Rosli Ishak pula ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.- Utusan