HomeBeritaKerja perobohan Stadium Shah Alam dijangka laksana bulan depan

Kerja perobohan Stadium Shah Alam dijangka laksana bulan depan

SHAH ALAM: Pelan kebenaran merancang (PKM) bagi projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) telah dihantar pada 15 November lalu, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari.

Menurutnya, proses perobohon Stadium Shah Alam pula dijangka dilaksanakan pada bulan depan dengan kos anggaran antara RM30 hingga RM50 juta.

“Bagi kerja fasa pertama, kita sudah menghantar PKM pada 15 November lalu melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selepas proses pengambilalihan tanah kepada MBI.

“Insya-Allah pada Disember selepas mesyuarat unit pusat setempat, kita akan laksanakan kerja perobohan dengan kos RM30 hingga 50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2024 dalam persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan kos keseluruhan pembinaan KSSA yang dianggarkan berjumlah RM3.28 bilion masih belum dipersetujui Kerajaan Negeri.

“Kos RM3.28 bilion merupakan angka yang belum kita persetujui. Yang sudah kita setuju adalah kos bagi proses perobohan kerana kita sedang menilai lagi. Hasrat kita untuk gantikan stadium,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu berkata perbelanjaan bagi projek KSSA di atas tanah seluas lebih 80 hektar itu meliputi pembinaan hotel, stesen perkhidmatan awam bersepadu, pusat teater dan kawasan komersial.

“Projek KSSA juga bakal menampilkan stadium yang bercantum selain menyedia tanah seluas 10 ekar bagi pembinaan projek tebatan banjir dan kolam tadahan,” katanya.

Kerajaan Negeri bakal membina kompleks sukan baharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada di Seksyen 13, Shah Alam yang perlahan-lahan rosak akibat banjir mulai 2006.

Bencana itu, termasuk pada 2013 dan 2021, mengakibatkan kerosakan padang, sistem pendawaian, bilik bekalan elektrik, bilik persalinan dan aras bawah stadium selain aspek keselamatan terjejas.

Kompleks di tanah seluas lebih 80 hektar bakal meliputi pelbagai kemudahan untuk orang awam berekreasi selain mengadakan kegiatan komersial antaranya:

■ 40 peratus kawasan rekreasi awam, 60 peratus untuk sukan
■ ada gelanggang indoor, dewan serba guna, hotel, masjid, ruang acara dan ruang jualan
■ sedia ruang sewa bagi biayai kos selenggara

Ciri-ciri lain kompleks itu seperti berikut:

■ stadium bertaraf antarabangsa
■ kapasiti 35,000 ke 45,000 penonton
■ ambil kira penyuraian aliran trafik
■ hubung pengangkutan awam seperti LRT
■ atasi kemungkinan banjir
■ boleh berfungsi kendali pelbagai acara, termasuk konsert

Authors

Pilihan Editor