GEORGETOWN: Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memaklumkan kes seorang guru sebuah sekolah rendah di Balik Pulau di sini, yang didakwa menunjukkan kemaluan ketika berada dalam kelas masih dalam siasatan polis.
Menurut beliau, pihaknya sedia maklum mengenai kejadian itu, namun tiada butiran lanjut memandangkan ia masih dalam siasatan.
“Kes itu sudah dilaporkan kepada polis dan biar mereka jalankan siasatan dulu. Sekiranya kejadian itu benar berlaku, siasatan akan dilakukan di bawah (mengikut) kes gangguan seksual.
“Kita tidak akan berkompromi dengan kes sebegini, tidak kira ia membabitkan guru mahupun pelajar,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Rabu.
Isnin lalu, seorang wanita membuat laporan polis atas dakwaan anak perempuannya berusia 10 tahun ternampak seorang guru lelaki menunjukkan kemaluan ketika berada dalam kelas di sebuah sekolah di Balik Pulau pada 2 November lalu.