CYBERJAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang paling gagal.
Menurutnya, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ gagal membuktikan secara konsisten bahawa kanser itu berpunca daripada tabiat merokok.
Malah, beliau turut menegaskan bahawa KJ gagal melaksanakan langkah untuk menubuhkan pusat penyelidikan atau institusi berkaitan dalam menganalisis dan menyelidik lebih lanjut mengenai data terperinci pesakit kanser di dalam negara.
“Oleh itu, Rang Undang-Undang (RUU) yang anda (KJ) cadangkan ini tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertahankan, dan apa yang lebih penting, tidak seharusnya anda menyalahkan menteri lain hanya untuk melampiaskan kekecewaan anda,” katanya di dalam kenyataan, pada Khamis.
Sebelum ini, KJ mendakwa dua menteri di dalam Kerajaan Perpaduan sebagai penghalang RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) daripada dilaksanakan.
Mengulas lanjut berkaitan RUU GEG, King Sing berkata, desakan KJ supaya RUU itu dikuatkuasakan secara paksa adalah tidak munasabah dan ‘membingungkan’.
“Terutamanya dalam abad ke-21 dan masyarakat bertamadun ini, pelaksanaan tekanan tinggi dan tindakan secara paksaaan ini adalah umpama ibu bapa yang merotan dan menghukum anak mereka tanpa usul periksa.
“Tindak balas beliau sebagaimana yang tidak dapat menerima keputusan bahawa RUU ini adalah tidak berpelembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” ujarnya.