KREATIF! Sebuah tandas sekolah di Johor yang berkonsepkan ‘open air’ ala-ala tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) mendapat pujian warga net.
Menerusi perkongsian Facebook seorang guru dikenali Shahrizal Sha’ari, reka bentuk tandas itu dibuat bagi memastikan pelajar menggunakan tandas dengan selesa sekali gus mencipta suasana yang sangat berbeza berbanding konsep kebanyakan tandas sekolah.
“Inilah salah satu projek tandas pelajar lelaki. Ada lagi tandas-tandas lain untuk disiapkan.
“Jikalau sebelum ni memang macam sendu, hauk dan reban ayam… ini juga satu usaha yang amat bernilai hasilnya.
“Pelajar lelaki pun tak rasa jijik nak yak yak (buang air besar). Tak ada gathering lama-lama sebab open air,” kongsinya.
Tambah guru itu, tandas lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai Besar tidak memerlukan dekorasi yang keterlaluan cukup menggunakan warna biru, putih dan coklat sahaja untuk menampakkan tandas tersebut luas.
“Penggunaan warna biru, putih dan coklat sebagai asasnya dan tampak luas… tak payah deco sangat asalkan sampai matlamatnya.
“Tak perlu kata-kata hikmah, tak perlu peraturan-peraturan bagai sebab budak-budak tak baca pun… yang penting dapat lepaskan hajat dengan tenang dan saksama dan blah,” ceritanya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan sekolah tersebut kerana menurut mereka tindakan itu dapat mengurangkan gejala negatif seperti kes buli, vandalisme dan merokok di dalam tandas.
“Kurang masalah melepak, mengulor, tak ngelat masuk kelas, tak boleh curi merokok, masalah bau hancing busuk dapat dikurangkan, tandas basah cepat kering… bagusssss sangat konsep gini,” komen @Yasmine Harun.
“Sokong sangat tandas open gini. Takde la ahli mesyuarat tandas. Pengawas sekolah pun tak pening nak jaga disiplin pelajar. Sokong!” tulis @Maryam Elyas.
“Bagusnya open concept macam ni. jadi kurang sikit risiko vandalisme di toilet. sebab org boleh nampak,” ujar @Red Tomato Puree.