KARNIVAL Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya menampilkan pelbagai aktiviti menarik, keunikan dan tarikan untuk pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya di Anjung Floria, Putrajaya.
Lebih mengujakan, pengunjung bukan hanya dapat akses kepada produk usahawan desa berkualiti, malah berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Myvi.
Karnival desa terbesar anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung dari 22 hingga 26 November ini menyasarkan sejuta pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.
Timbalan Ketua Setiausaha (DASAR), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata pihaknya optimis dapat mencapai sasaran itu berdasarkan pengisian segmen dan produk usahawan desa menarik berjaya diketengahkan dalam karnival kali ini.
“Fokus utama pelaksanaan KUD @ Putrajaya ini, ialah produk membabitkan lebih 800 usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari agensi di bawah KKDW dapat menjana pendapatan menerusi jualan atau aktiviti perniagaan sepanjang karnival.
“Majoriti usahawan luar bandar yang mengambil bahagian adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, diikuti kategori fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak.
“Selain itu, terdapat kategori kecantikan dan kesihatan, kraf tangan dan produk pertanian,” katanya.
Menurutnya, selain itu terdapat pameran dan pengisian oleh agensi dan anak syarikat membabitkan agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Tidak ketinggalan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
Che Murad turut menyifatkan pengisian untuk karnival ini lebih menyeluruh dan relevan dengan permintaan pasaran.
“KUD @ Putrajaya bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari. Pada masa sama, ia turut menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan.
“Kami percaya itu dapat dicapai berdasarkan beberapa produk dan segmen baharu diketengahkan dalam karnival ini.
“Antaranya KKDW telah mengambil inisiatif memperkenalkan produk pelancongan luar bandar atau Komponen Rural Tourism dalam KUD @ Putrajaya.
“Seperti Rural Tourism KEDA, pengunjung disajikan dengan glamping di Tepian Laman Padi di samping menikmati minuman kopi produk usahawan luar bandar bimbingan KEDA.
“Di ruangan Rural Tourism KEJORA pula mempamerkan Pavilion Bahtera KEJORA yang mempromosikan produk tarikan pelancong di wilayah KEJORA disamping Laman Kelulut,” katanya.
Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti di Gelanggang Sukan Rakyat yang membolehkan pengunjung mengimbau kenangan lalu menerusi sepak raga, batu seremban, boling kelapa dan congkak.
Tambahnya lagi, pengisian aktiviti dirangka penuh sehingga ke malam dan bersesuaian untuk seluruh peringkat masyarakat.
“Karnival ini juga menyasarkan penyertaan bahagian tertentu dari Kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan serta pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar.
“Pengunjung KUD @ Putrajaya juga boleh menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam dengan barisan panel agamawan tersohor, Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Dr Mohd Erfino Johari, Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamed dan Amin Idris sebagai moderator,” katanya.
Acara perasmian akan berlangsung Sabtu ini dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Orang ramai dinasihat menggunakan bas shuttle disediakan untuk akses lebih mudah ke tapak karnival.
Kemudahan sama boleh dinikmati bagi mereka menggunakan perkhidmatan tren MRT untuk ke KUD @ Putrajaya. – Berita Harian