TUAN rumah mana yang tidak kecewa apabila melihat rumah yang disewakan bertukar menjadi seperti tempat longgokan sampah dek kerana sikap penyewa yang pengotor dan tidak bertanggungjawab.
Terbaru, seorang pengguna Facebook, Abdul Latif Ab Razak meluahkan kekesalan terhadap sikap penyewa yang menyewa di kediaman ibu bapanya di Ipoh, Perak.
Menurutnya, rumah sewa itu bukan sahaja dibiarkan tanpa dikemas malah, turut ditinggalkan dalam keadaan yang begitu kotor dan menjijikkan.
“Kesian kat mak pak aku kena hadap penyewa mental camni.
“Rumah di Taman Cempaka, Ipoh ni sikit punya strategik kawasan dia nak apa kemudahan semua berhampiran ja.
“Tapi dah tertulis ujian kami sekeluarga selalu dapat penyewa begini… bukan sekali dua berlaku,” luahnya.
Tambah Latif, duit sewa yang sepatutnya dijadikan sebagai pendapatan bulanan kini terpaksa dibelanjakan untuk membaik pulih kerosakan rumah terbabit.
“Dari sepatutnya raih pasif income tapi jadi sebaliknya… kos membersih, tunggakan sewa, hutang bil api dan air.
“Tambah lagi nak baik pulih kerosakan sudah cecah RM6,000 (menyamai nilai sewaan selama setahun!
“Tak semudah ABC ye nak raih income melalui rumah sewa… saranan aku keperluan melantik Real Estate Negotiator adalah menjadi kewajipan pada setiap pemilik aset,” jelasnya
Tidak mahu sejarah berulang, Latif menegaskan selepas ini dia akan meminta penyewa menyediakan beberapa dokumen seperti yang tertakluk dalam undang-undang.
“Lepas ni kena letak tepi dah bab kesian kat orang lain… kita baca konon nak mudahkan urusan mereka yang sedang dalam kesulitan.
“Biarlah lebih bertegas jangan naif sangat! Nak masuk sewa rumah kena ikut law.
“Deposit, agreement dan detail lengkap penyewa semua ada, sebab bila jadi macam ni sapa nak kesian kat kita,” akhirinya.