SEORANG lelaki nekad menggerakkan kereta miliknya, meskipun tayar kenderaan itu dikunci di petak parkir.
Menerusi video tular, lelaki berbaju hitam dan berseluar jeans itu pada mulanya dilihat melakukan cubaan merosakkan kunci tersebut tanpa sebarang peralatan.
Namun, cubaannya gagal menyebabkan dia memandu pergi kereta jenis Proton Saga putih itu sebelum perjalanannya terhenti setengah jalan.
Dia kemudian dilihat keluar dari kenderaannya, sebelum sekali lagi gagal merosakkan kunci terbabit.
Tidak peduli kunci itu masih tersangkut pada tayar keretanya, lelaki tersebut tetap meneruskan perjalannya meskipun pergerakannya dilihat agak tersangkut.
Difahamkan, tayar kereta itu dikunci pihak berkuasa tempatan (PBT), selepas dia gagal membayar saman parkir di kawasan terbabit.
Masa kejadian masih belum dapat dipastikan namun ia dipercayai berlaku di Kajang, Selangor dan tular di media sosial sejak Selasa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen khuathir sekiranya tayar kenderaan tersebut rosak dan memakan kos lebih tinggi untuk memperbaikinya, berbanding harga saman yang perlu dibayar lelaki tersebut.
Tulis @bitterlemon: “Bayar saman berapa? Bayar kalau rim dan tayar pecah pula berapa? Kadang-kadang aneh orang yang ego macam tak mampu nak berfikir.”
Perli @samlgk2023: “Boleh bang, boleh jalan duit poket untuk repair kerosakan.”
Tambah @Bardhussain: “Mamat ni memang ganas. Bumper depan sebelah kiri pun macam rupa jahitan Frankestein.”
Malah, ada juga yang mempersoalkan sama ada PBT berkuasa untuk mengunci tayar kenderaan orang awam.
@druglordfxdl menulis: “Bukan tak boleh lock clamp tayar ke?”
Ujar @Terunatahanlama: “Aku rasa sistem majlis perbandaran ni lebih baik link dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). Siapa tak bayar saman, tak renew roadtax kena block. Sebab ada segelintir orang tak hairan dengan saman majlis ini.”
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan kunci roda kenderaan akan dilaksanakan PBT berkenaan di sekitar ibu negara bermula Oktober.
Menurut DBKL, tindakan kunci roda kenderaan itu akan dilaksanakan ke atas kenderaan yang menyebabkan halangan, bahaya atau kesulitan kepada pengguna jalan yang lain.
Tindakan dibuat menerusi Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dilaksanakan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).
Lelaki nekad bawa lari kereta kena clamp di Kajang
Baca berita penuh di portal Media Variasi. https://t.co/nD83BaHnPe#Kajang #MPKJ #clamp #viral pic.twitter.com/M03ik5sA7N
— Media Variasi (@mediavariasi_) November 2, 2023