KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengingatkan warganegara untuk memohon visa secara dalam talian, sebelum melakukan perjalanan ke Indonesia bagi tujuan selain daripada melancong.
Dalam kenyataan pada Rabu, kedutaan berkata, warganegara Malaysia hendaklah memohon visa terlebih dahulu bersesuaian dengan tujuan kunjungan ke Indonesia.
Ini kerana, secara umumnya warganegara Malaysia yang berkunjung ke Indonesia bagi tujuan melancong tidak memerlukan visa semasa ketibaan untuk tempoh tinggal tidak melebihi 30 hari.
“Sepanjang tempoh melancong tersebut, warganegara Malaysia tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang pekerjaan, latihan industri, urusan perniagaan atau tujuan lain.
“Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta ingin mengingatkan bahawa bagi tujuan selain daripada melancong, warganegara Malaysia hendaklah memohon visa secara dalam talian terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan ke Indonesia, bersesuaian dengan tujuan kunjungan ke Indonesia,” katanya.
Katanya, sebarang pertanyaan lanjut dan permohonan eVisa boleh dilakukan melalui laman web https://visa-online-imigrasi.go.id/ atau https://evisa.imigrasi.go.id.