KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jabatannya sebagai presiden parti.
Setiausaha AgUng Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pimpinan tertinggi parti itu membuat keputusan itu dalam satu mesyuarat khas petang tadi.
“Mesyuarat sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti.
“MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepemimpinannya diperlukan oleh parti dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diadakan susulan pengumuman Muhyiddin sewaktu menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan (PAT) parti.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden Bersatu dalam pemilihan yang akan diadakan hujung tahun hadapan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pemimpin pelapis mengambil alih kepimpinan parti mengikut proses demokrasi. – Harian Metro