PETALING JAYA: Seorang individu berjawatan tinggi di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dipercayai Mr H yang didakwa terlibat dalam kes rakaman video tular mengenai perbualan lucah membabitkan dua individu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan lanjut oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perkara ini.
Dalam pada masa sama, tinjauan wartawan Utusan Malaysia di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, iaitu lokasi di mana Mr H dikatakan akan hadir memberi keterangan petang ini tidak kelihatan kelibat individu berkenaan.
Sehingga kini, identiti individu berkenaan masih menjadi tanda tanya semua pihak selepas pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff oleh Mr H.
Terdahulu, Ketua Polis Negara mengesahkan keterangan individu dikenali Mr. H akan diambil polis di Putrajaya petang tadi.
Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses merakam keterangan individu berkenaan akan dilakukan di Balai Polis Presint 11.
Kata beliau, pihaknya juga belum menerima sebarang laporan polis daripada pegawai Abdul Wahab setakat pukul 2 petang tadi.
“Setakat ini, kita (polis) telah merakam keterangan tiga orang saksi di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Beberapa orang saksi lain akan dirakam percakapan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” katanya di sini.
Terdahulu, media melaporkan keterangan individu dikenali Mr H akan diambil polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah membabitkan dua individu termasuk Mohammad Agus.
Mr H dipanggil selepas Individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan juga telah dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya.
Isnin lalu, Mohammad Agus memaklumkan telah mendedahkan maklumat individu dikenali Mr H selepas keterangannya diambil polis semalam.
Dalam masa sama,Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi aduan berhubung penularan laporan polis yang dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
Sebelum itu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.
Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H. – Utusan