HomeBeritaMahkamah & JenayahMuhyiddin gagal dapat semula pasport secara kekal

Muhyiddin gagal dapat semula pasport secara kekal

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal dalam permohonan mendapatkan kembali pasport antarabangsa secara kekal dan tanpa syarat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

“Selepas meneliti dan menimbang segala hujahan yang dikemukakan semua pihak, mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk mengubah jaminan bon dan melepaskan pasport antarabangsa pemohon tanpa syarat seperti dalam notis permohonan adalah ditolak.

“Mahkamah mendapati pemohon masih lagi mempunyai pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), pemohonan untuk membatalkan pertuduhan itu difailkan akan didengar oleh mahkamah ini.

“Sehubungan itu, mahkamah mendapati adalah suatu pramatang dan tiada keperluan pada tahap ini untuk mahkamah mengubah syarat jaminan bon,” kata hakim memetik Kosmo pada Rabu.

Bagaimanapun, permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport sementara bagi ke luar negara iaitu di London United Kingdom (UK) dan Dubai bermula 15 Disember ini hingga 11 Januari 2024 dibenarkan mahkamah.

“Pemohon perlu mengembalikan pasportnya sebelum atau pada 15 Januari 2024,” kata hakim.

Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin, 76, dalam afidavitnya memohon untuk mendapatkan kembali pasportnya secara kekal dari Mahkamah Sesyen atas beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga di luar negara.

Muhyiddin dilapor berkata, ia adalah suatu kebiasaan di mana beliau akan membawa keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.

Menurutnta, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama kerana dirinya dan keluarga amat tertekan pada tahun ini.

Author

Pilihan Editor