CYBERJAYA: Empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di negara ini mulai Sabtu ini, 11 November 2023.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, musim tengkujuh itu dijangkan akan berterusan hingga Mac tahun depan.
Menurutnya, pada awal MTL dari November hingga Januari tahun depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
Namun, menurut beliau, sekirannya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di seluruh negara.
“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap berlaku banjir.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” maklumnya.
Tambah beliau, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
“Pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 pula dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan danTerengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan.
“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.
“Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun depan dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia menerusi platform laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia.
Talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.