HomeBeritaOrang Malaysia serbu Thailand

Orang Malaysia serbu Thailand

BUKIT KAYU HITAM: Orang ramai dari seluruh negara mula memasuki Thailand hari ini untuk bercuti sempena perayaan Deepavali, esok.

Tinjauan sekitar Lebuh Raya Bukit Kayu Hitam sehingga ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini mendapati aliran trafik sesak dengan pelbagai jenis kenderaan persendirian termasuk bas persiaran bermula pukul 6 pagi.

Menurut seorang kakitangan swasta, Azman Ali, 51, dari Pulau Pinang, dia memilih Thailand untuk bercuti kerana kosnya lebih murah daripada bercuti di tempat lain termasuk dalam negara.

“Saya datang dengan rombongan seramai 40 orang terdiri daripada rakan sekerja saya bersama keluarga masing-masing. Kami akan ke Satun dan kawasan sekitar selama tiga hari.

“Kos bercuti di Thailand sangat murah, saya hanya perlu menyediakan sebanyak RM350 seorang siap dengan pengangkutan dan penginapan. Makanan tak perlu risau kerana sangat murah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Nurul Hidayahtul Akmar Salihan, 36, dari Ipoh Perak, dia bersama suami, Mohd. Firdaus Mat Salleh, 35, memilih untuk bercuti bersama anggota kelab bermotosikal tinggi, Couple Bikers ke Pak Bara, Satun selama dua hari.

“Kami pasangan suami isteri datang dengan tujuh motosikal. Ini bukan kali pertama kerana kelab kami memang suka ke Thailand kerana kosnya lebih murah malah daripada bercuti dalam negara sendiri.

“Untuk setiap trip kami hanya perlu sediakan kira-kira RM500 sahaja itu pun kami sudah mampu menginap di hotel bertaraf empat bintang. Makanan pun sangat murah dan sedap. Beberapa bulan lepas kami ke Yala,” katanya.

Katanya, mereka tidak berniat untuk meminggirkan tempat percutian dalam negara, namun aktiviti bercuti di situ agak terhad.

Sementara itu menurut Alice Sun, 45, dari Kuala Lumpur, dia bersama lima anggota keluarga memilih untuk bercuti di Hatyai sempena cuti ini.

“Kami bertolak dari rumah di Cheras, semalam dan singgah di rumah ibu bapa saya di Sungai Petani dahulu sebelum bertolak ke sana. Kami akan bercuti tiga hari di sana.

“Kami pilih Hatyai sebab mudah dan murah di sana termasuk makanan. Selalunya kami akan belanja sekitar RM1,000 sahaja untuk lima beranak. Kalau beli-belah mungkin lebih sikit. Walaupun mata wang sana agak tinggi tetapi masih murah,” katanya. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor