HomeBeritaPolitik‘PAS tak patut biar Siti Mastura kelihatan dungu’ - Amanah

‘PAS tak patut biar Siti Mastura kelihatan dungu’ – Amanah

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mempersoalkan kepimpinan PAS yang dilihat hanya membisu tatkala Dr. Siti Mastura Muhammad dihujani kecaman, selepas mengaitkan pemimpin DAP memiliki pertalian darah dengan ketua pergerakan komunis.

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Rahman berkata, sejak ucapan Ahli Parlimen Kepala Batas mengaitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dengan Chin Peng tular, tiada seorang pemimpin PAS tampil membelanya bagi mempertahankan dakwaan tersebut.

Azhar berkata, pimpinan PAS setidak-tidaknya perlu mengeluarkan kenyataan untuk menyokong ucapan Siti Mastura sebagai tanda solidariti, apabila beliau diasak bertubi-tubi oleh pimpinan DAP.

“Atau, sekiranya apa yang diucap beliau jelas tidak berasas, keluarkan kenyataan permohonan maaf bagi pihak beliau.

“Gunakan sahaja alasan yang kenyataan beliau telah dimanipulasi atau diambil di luar konteks seperti yang biasa pimpinan PAS  lakukan supaya serangan lawan dapat dikurangkan.

“Selepas 48 jam, Guan Eng telah mengambil tindakan memulakan saman terhadap beliau, namun, masih tiada kedengaran sebarang usaha membela beliau atau paling tidak menyediakan khidmat guaman untuk membela beliau.

“Pemimpin PAS tidak patut biarkan Mastura kelihatan dungu begitu. Apatah lagi beliau sebagai pimpinan wanita muda yang kuat mempertahan kepimpinan PAS setiap masa,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jumaat, Guan Eng dilapor memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng.

Katanya, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Tambahnya, tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman, Terengganu pada majlis Ameerah atau ahli wanita muda PAS pada 4 November lalu, yang diselit dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat.

Beliau sebelum ini memberi masa dua hari (hingga Khamis lalu) untuk Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu mengemukakan bukti, jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau sebelum itu menunjukan klip video ucapan yang dimuat naik di media sosial menyaksikan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan pemimpin DAP lain.

Pemimpin DAP yang disebut itu ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Isu dakwaan Siti Mastura kemudian merebak dan panas dalam Dewan Rakyat selepas beberapa ahli parti DAP, menuntut penjelasan semasa beliau membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Namun, Siti Mastura tidak mengendahkan celahan itu, sebaliknya masih meneruskan hujahan seperti biasa sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mematikan pembesar suaranya seketika dan bertanya jika beliau mahu memberi ruang kepada orang lain untuk mencelah.

Author

Pilihan Editor