CYBERJAYA: Pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas memohon maaf susulan dakwaan seorang lelaki bahawa mendapat layanan tidak adil oleh kakitangannya ketika mengunjungi bangunan ikonik itu kelmarin.
Pengurusan menara itu dalam satu kenyataan berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
“Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.
“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera. Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, tular di media sosial hantaran seorang lelaki yang mendakwa pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas ‘pilih bulu’ dengan memberi layanan istimewa dan mendahulukan satu pasangan ‘mat saleh’ untuk menaiki Skybridge KLCC, meskipun dia telah mendapat slot dan menunggu lebih awal.
Dalam hantaran sama, lelaki itu memaklumkan bahawa dia beratur pada jam 11.30 pagi dan dapat membeli tiket untuk slot jam 4 petang bagi menaiki menara tersebut.
Kemudian katanya, dia datang semula pada pukul 2 petang dan menunggu di ruang menunggu hingga jam 3.45 petang untuk beratur bagi mengimbas tiket.
“Lebih kurang jam 3 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tie warna Petronas itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple Mat Salih tiket naik pukul berapa.
“Mat salih itu jawab pukul 4.15 petang. Pegawai itu kenyit mata dan (bagi) signal suruh couple mat salih itu ke depan supaya boleh naik awal.
“Mulalah tertanya-tanya apa hal pula mat salih boleh naik dulu. Saya ini yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu,” tulisnya.