TERKILAN, kecewa, marah dan sedih. Itulah perasaan yang dapat digambarkan oleh seorang pemuda apabila hari bahagianya bertukar menjadi mimpi ngeri selepas wanita yang sepatutnya menjadi isterinya tidak muncul pada hari pernikahan.
Menerusi hantaran tular di Facebook, pemuda yang dikenali Nurul Aiman tersebut mendakwa mengenali wanita itu sejak 2021 dan melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober tahun lalu di Kuching, Sarawak.
Dakwanya, mereka sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah pada 10 November dan majlis persandingan pada 11 November di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.
“Rombongan kami dari Kuching berangkat pada jam 6 pagi dan tiba di Daro pada lebih kurang jam 5 petang.
“Sampai di Daro, kami terus pergi ke homestay yang dah di booking oleh si pengantin perempuan untuk rombongan kami yang berjumlah 22 orang (sebuah van, 3 buah kereta).
“Terkejut kami bila owner homestay cakap takde apa-apa pesanan bilik yang diterima untuk tarikh tu.
“Aku pun call la berkali-kali bakal pengantin perempuan tapi takde respons. Disebabkan dah terlalu penat sangat, nak tak nak terpaksa jugak bayar guna duit sendiri untuk homestay termasuk perbelanjaan lain yang sepatutnya diuruskan pengantin perempuan.
“Bukan main lagi bagitau kat mak aku yang homestay dah diurus semua tinggal nak datang je .
“Waktu ni aku dah rasa lain macam dah, macam ada yang tak kena, sebab dia cakap semua dah diurus tapi aku cuba positif thinking lagi. Aku pun ambik masa berehat and siapkan apa yang patut untuk majlis kami keesokan hari,” ceritanya.
Pada hari yang sepatutnya berlangsung akad nikah, dia bersama rombongan yang membawa barang hantaran terkejut apabila mendapati rumah bakal pengantin perempuan kosong seperti tiada majlis yang dibuat.
“Aku cuba la call bakal pengantin perempuan dengan bapak dia, dua-dua tak boleh call. Alamat betul, tapi rumah takde orang.
“Memang dah agak dah ada sesuatu yang tak kena. Kitorang decide nak pegi rumah jiran sebelah tu.
“Rupanya tuan rumah sebelah tu mak saudara si pengantin perempuan. Jadi kitorang bagitau la tujuan datang and tanya pasal pengantin perempuan.
“Kitorang tanya la sama ada kenal tak dengan pengantin perempuan tu. Bertambah geram dan terkejut bila dorang bagitau nama sebenar dia.
“Yang lagi parah perempuan tu dah berkahwin dan ada dua orang anak. Ayah dia pun bersubahat sekali dalam kes ni, sebab tak jujur dari awal,” dakwanya.
Lebih mengecewakan apabila wanita itu telah menipu namanya dan bapanya turut bersubahat dalam kes ini.
“Kenapa seorang ayah sanggup biarkan anak dia bertunang dengan aku sedangkan dia sendiri tau anak dia tu bini orang.
“Memang speechless kecewa, marah, sedih semua ada, tak mampu dah aku nak cakap apa masa tu,” luahnya kesal.
Susulan itu, pemuda itu dan keluarganya membuat laporan polis berhubung penipuan terbabit.
Pemuda ini turut menjelaskan segala urusan perkahwinan diuruskan sepenuhnya oleh pihak perempuan.
“Untuk pengetahuan semua, tentang proses daftar nikah kami ni, perempuan ni nak sangat-sangat uruskan.
“Dia cakap dia dah uruskan semua sebab nak akad nikah kat sebelah pihak perempuan.
“Persiapan pun dah dibuat untuk majlis sebelah pihak perempuan katanya. Aku dah bagi semua dokumen yang berkaitan kat dia.
“Aku anggap semua dah settle masa tu tinggal nak kahwin je sebab dia sendiri cakap dah settle.
“Lagi pun hari aku pergi Jabatan Agama Islam Sarawak diorang cakap hanya salah seorang je yang perlu isi. Jadi aku beranggapan yang dia dah buat,” jelasnya.