HomeSukanPJS, MOM bakal adakan pertemuan tamat perselisihan

PJS, MOM bakal adakan pertemuan tamat perselisihan

CYBERJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mengatur pertemuan antara Pesuruhjaya Sukan (PJS) dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat, bagi menyelesaikan perselisihan antara kedua-dua pihak.

Perkara itu disahkan Pejabat PJS dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, platform X dan Instagram pada Selasa.

Pada masa sama, Pejabat PJS menyatakan kekesalan atas kenyataan-kenyataan susulan yang telah dikeluarkan berkaitan isu salah faham yang berlaku dengan MOM baru-baru ini.

“Justeru, satu perjumpaan akan diaturkan antara KBS dan KOM dalam jangka masa terdekat untuk menjelaskan konteks sebenar perkara ini.

“KBS yakin bahawa dengan sesi perjumpaan ini, semua pihak akan mendapat pencerahan dan salah faham ini dapat diselesaikan secara baik,” lapor kenyataan itu.

Pada Isnin, konflik antara kedua-dua badan ini mencapai kemuncak apabila Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib mengeluarkan kenyataan yang menuntut Menteri KBS, Hannah Yeoh untuk campur tangan memandangkan PJS, Suhardi Alias enggan memohon maaf susulan audio yang tular di aplikasi WhatsApp, sebelum ini.

Beliau menyifatkan Suhardi sudah melampaui batas, berikutan turut menyentuh pencapaian dan prestasi atlet kebangsaan yang bukan berada dalam bidang kuasanya.

“Suhardi bukan sahaja enggan memohon maaf atas kata-kata beliau yang menyamakan MOM dengan Kerajaan Israel tetapi juga menyentuh pencapaian dan prestasi atlet di bawah naungan kami, sedangkan bidang kuasa PJS terhad kepada perundangan berkaitan pendaftaran dan pembatalan atau penggantungan badan sukan yang berdaftar di bawah Akta 576.

“Keengganan Suhardi ini memberi isyarat bahawa beliau sudah memukul gendang perang dengan MOM dan ahli gabungan kami,” kata Nazifuddin.

Terdahulu, Suhardi Alias telah mengancam mahu membubarkan badan induk itu dalam satu pertemuan dengan dua badan e-sukan, Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) pada 14 November lalu.

Menerusi klip audio berdurasi satu minit 20 saat yang tular di aplikasi Whatsapp, Suhardi telah menyamakan MOM dengan Israel kerana tidak berpuas hati dengan isu pendaftaran dan keahlian antarabangsa membabitkan dua pertubuhan e-sukan tersebut.

Justeru Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria menegaskan bahawa, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Hannah Yeoh.

Author

Pilihan Editor