SUBANG JAYA: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang berkelakuan jelik, apabila membuang air kecil di tepi tiang tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, video berdurasi 50 saat yang memaparkan perbuatan lelaki itu tersebar di media sosial sejak Ahad lalu.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 16 November lalu melibatkan seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar pendek berwarna kelabu di sebuah pasar raya di Subang Jaya.
“Di dalam rakaman video tersebut terdapat perbualan di antara perakam dengan suspek yang mengatakan terdapat tandas dan suspek hanya menjawab minta maaf dan terus beredar menaiki kereta jenis Mazda.
“Kes diklasifikasikan sebagai kelakuan aib di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Azlan berkata, suspek telah dikenal pasti dan masih dikesan bagi membantu siasatan.
“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan aib dan kegusaran kepada orang awam.
“Sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian, orang ramai diminta tampil memberikan kerjasama melalui Pusat Kawalan Daerah Subang di nombor 03-78627100 atau pegawai penyiasat Inspektor Norhishamuddin Hamdan di nombor 010-2494819,” katanya.