HomeBeritaPolis buru penunggang motosikal samun lelaki di Shah Alam

Polis buru penunggang motosikal samun lelaki di Shah Alam

SHAH ALAM: Polis memburu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian samun seorang lelaki di kawasan perumahan Seksyen 27, di sini pada 5.50 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan aktiviti joging.

Beliau berkata, suspek yang menaiki sebuah motosikal telah datang ke arah mangsa dengan bersenjatakan parang ketika kejadian.

“Suspek merampas beg milik mangsa dan mangsa bertindak menarik semula beg tersebut sebelum suspek bertindak mencederakannya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Tambahnya, tiada sebarang kerugian yang dialami mangsa manakala laporan dibuat oleh kakak mangsa pada 8.30 malam Khamis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Anis Shafika di talian 011-10951310.

Author

Pilihan Editor