HomeBeritaPolis rekod keterangan Mr H petang ini

Polis rekod keterangan Mr H petang ini

CYBERJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan individu dikenali Mr H direkod keterangannya di Balai Polis Presint 11, Putrajaya pada jam 5.30 petang ini.

Razarudin berkata, keterangan itu bagi membantu siasatan berhubung kes panggilan video lucah tular, dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

“Setakat ini seramai tiga saksi sudah dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa orang saksi lain akan dirakam percakapan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

“Setakat 2 petang ini, tiada laporan polis yang diterima dari pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya, Abdul Wahab diminta segera tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Pada Isnin, Mohammad Agus mendedahkan identiti Mr H dalam keterangan kepada polis, selain membuat satu lagi laporan berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini, berhubung video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Sebelum ini, polis menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Author

Pilihan Editor