HomeBeritaRestoran Islam perlu ambil tukang masak Muslim jaga solat - Mufti

Restoran Islam perlu ambil tukang masak Muslim jaga solat – Mufti

CYBERJAYA: Tindakan seorang majikan di sebuah restoran Cina Muslim yang memecat seorang pekerjanya kerana memakai tanda salib, mendapat pandangan berbeza daripada golongan pemimpin dan alim ulama di negara ini.

Difahamkan, restoran Mon Chinese Beef Roti itu terletak di Bukit Bintang, dekat ibu negara dan tular baru-baru ini berikutan perkara tersebut.

Mohamad Sabri -Foto: TRDI.my

Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, tukang masak di sesebuah restoran Islam sepatutnya diambil dalam kalangan penganut Islam yang bukan sahaja menjaga solat, malah perlu menjaga kesucian serta kebersihan.

Malah, katanya, kesucian sesuatu makanan yang dimasak juga perlu menjadi keutamaan.

“Sebagaimana orang Islam yang inginkan kesucian, sepatutnya yang suci juga disediakan oleh tukang masak.

“Jadi, tukang masak termasuk tukang cuci perlu tahu tentang kesucian. Oleh itu, sepatutnya tugas-tugas seperti ini dilakukan oleh orang-orang Islam yang solat,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Sementara itu, katanya, pekerja bukan Islam yang bekerja di restoran sama disarankan untuk melakukan tugas teknikal seperti pelayan, angkat barang, potong rumput dan apa sahaja yang bersesuaian.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Nor dilapor menyifatkan tindakan majikan itu sebagai tidak selari dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik dengan semua manusia meskipun berbeza agama.

Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang membangkitkan kebimbangan berhubung insiden tersebut.

Kulasegaran dilapor berkata, isu agama dan kaum akan menjadi isu yang besar sekiranya tindakan segera tidak diambil oleh pihak yang berkenaan.

Selain itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii mengecam keras pemecatan pekerja terbabit dan menganggap ia sebagai ‘diskriminasi’, bertentangan dengan undang-undang dan cabaran kepada kebebasan beragama di negara ini.

Author

Pilihan Editor