HomeBeritaSatu lagi NGO dipercayai ada kaitan Aman Palestin kini disiasat SPRM

Satu lagi NGO dipercayai ada kaitan Aman Palestin kini disiasat SPRM

KUALA LUMPUR: Sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana dan sumbangan daripada orang awam bagi membantu golongan memerlukan turut berada dalam radar pihak berkuasa.

Sumber berkata, pertubuhan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“NGO terbabit dikatakan turut menjalankan kerja sukarelawan kepada Aman Palestin bagi mengutip dana dan sumbangan daripada penderma.

“Bekas pemimpin tertinggi pertubuhan itu dipercayai sangat berkuasa dalam Aman Palestin meskipun tidak lagi menjawat jawatan dalam NGO terbabit,” katanya.

Menurut sumber, siasatan SPRM ketika ini menjurus kepada individu penting yang berkuasa meluluskan dana pertubuhan itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, SPRM mengesahkan membekukan 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin berjumlah RM15,868,762.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

Siasatan awal SPRM mendapati, penyaluran dana awam kepada Aman Palestin ada yang digunakan untuk membeli aset atas nama syarikat proksi.

Perincian penyaluran dana membabitkan pembelian aset atas nama syarikat proksi itu masih dalam siasatan. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor