HomeBeritaSaya hampir putus asa untuk dibawa keluar dari Gaza - Nurul Ain

Saya hampir putus asa untuk dibawa keluar dari Gaza – Nurul Ain

KUALA LUMPUR: Tiga hari menunggu pintu sempadan Rafah dibuka, Nurul Ain Haron, 37, hampir putus asa untuk dibawa keluar dari wilayah bergolak Gaza, Palestin.

Berkongsi pengalamannya dengan Berita Harian, Nurul Ain berkata, beliau kali pertama menerima panggilan daripada wakil kedutaan Malaysia di Mesir.

“Saya dapat panggilan pada Khamis, 9 November jam 9 malam. Sepatutnya saya keluar hari Jumaat 10 November,” katanya hari ini.

Pada hari Jumaat itu, Nurul Ain berkata, beliau bersiap dan sudah menunggu di pintu sempadan Rafah seawal jam 7 pagi.

“Masa tunggu di pintu sempadan, duta Malaysia pun tunggu sama di sebelah sana (Mesir)… tapi pintu tak buka.

“Saya tunggu dari jam 7 pagi hingga 5 petang… tapi pintu tidak dibuka jadi saya baliklah ke rumah kakak ipar semula,” katanya.

Menurut Nurul Ain, alasan yang dimaklumkan kepadanya ialah kerana pada hari itu tiada ambulans yang masuk dari Utara Gaza.

Keesokannya, Sabtu 11 November Nurul dan suaminya Muhammad Adnan Shaat, 33, menerima satu lagi panggilan daripada kedutaan yang menyatakan sempadan Rafah akan dibuka.

“Kami memberitahu pegawai kedutaan tersebut, kos untuk ke sempadan adalah lebih kurang 100 Shekel dan 100 Shekel itu dalam RM100. Kami tak mahu membazir, kami minta mereka maklum kepada kami jika sempadan sudah dibuka,

“Namun sekali lagi sempadan Rafah tidak dibuka dan kami terus menunggu,” katanya.

Pada malam yang sama, Nurul dan Muhammad mendapat berita gembira yang pintu sempadan akan dibuka dan keesokannya mereka terus menuju ke sempadan Rafah dan berjaya melintasi sempadan jam 8.20 malam pada Ahad, 12 November lalu.

Nurul Ain bersama kanak-kanak di sekitar Khan Yunis, Gaza.

Menurut Nurul ketika menerima maklumat nama beliau dan suami tersenarai sebagai individu yang dibenarkan keluar dari sempadan, perasaannya bercampur baur antara syukur dan sedih.

“Kami gembira, syukur Alhamdulillah tetapi pada masa sama, kami bersedih mengenangkan nasib keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Kekecohan sepanjang perjalanan ke sempadan

Sepanjang jalan dari rumah kakak iparnya yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan ke sempadan Rafah, Nurul Ain berkata, beliau dapat lihat kekecohan dan kemusnahan yang amat dahsyat.

“Sukar nak digambarkan, saya nampak dekat Western Union orang bergaduh berebut nak ambil duit, ada rumah sudah hancur dan saya dapat lihat bagaimana orang ramai berebut-rebut nak beli roti, orang berebut nak ambil air.

“Bagi saya, kehidupan di Gaza amat sukar, saya rasa jika saya tak keluar, bagaimana saya mahu bantu kerana di sana sudah tidak ada apa-apa,” katanya.

Nurul Ain menempuh detik cemas apabila kawasan penempatan sekitar keluarga mentuanya dibom setiap hari namun beliau masih cekal membantu warga Palestin yang lain terutama kanak-kanak.

Nurul Ain berkata, keluarga mentuanya sering berpesan untuk terus bersyukur untuk mereka, jangan lupakan mereka selalu dan jangan putus doa untuk mereka.

“Mereka pesan kepada saya, walaupun sudah berada di luar Gaza, saya mesti teruskan kerja yang saya mula di sana, membantu warga Palestin.

“Saya amat terharu keluar mentua menerima saya, mereka sayangkan saya walaupun kami baru pertama kali bertemu sejak saya berkahwin dengan suami lebih enam tahun lalu,” katanya.

Bawa pulang kenangan dan trauma

Nurul Ain berkata, sejak dimaklumkan dibenarkan pulang, beliau sudah mengemas bagasi dan bersedia untuk melintasi sempadan.

Ditanya apa yang dibawa keluar bersama, Nurul berseloroh menyatakan selain kenangan dan trauma, beliau ada membawa dua beg pakaian kotor dan sedikit ole-ole untuk kenangan.

Nurul Ain juga bergurau sebagai wanita biasa, beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli sedikit buah tangan dan cenderahati untuk dirinya dan keluarga.

“Saya ada bawa pulang telekung dari Palestin untuk Ibu saya, Mastura Yusof, dan rantai kunci untuk awak (wartawan),” katanya sambil ketawa.

Nurul Ain dan Muhammad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa, 14 November lalu setelah terkandas lebih 42 hari sejak 1 Oktober lalu di Khan Yunis, Gaza.

Nurul dan suaminya ke Gaza untuk menziarahi keluarga kerana suaminya sudah sembilan tahun tidak bertemu keluarga dan Nurul sendiri belum pernah bertemu keluarga mentuanya sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor