HomeBeritaViral'Sekat umat Islam dari pergi konsert Coldplay'

‘Sekat umat Islam dari pergi konsert Coldplay’

PENDAKWAH terkenal, Ustazah Asma’ Harun memberi sebab mengapa umat Islam dihalang daripada menghadiri konsert Coldplay yang dijadualkan hari ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menurut Ustazah Asma’, bala atau keburukan tidak akan datang segera dan kepada umat tertentu sahaja, tapi ia akan memberi kesan jangka panjang dan buruk kepada seluruh umat Islam termasuk yang tidak terlibat dengan konsert.

“Keluarga kita di sana sedang menderita, dibantai beramai-ramai dan bergelumang dengan darah, sanggupkah kita menyanyi, menari jatuhkan maruah. 

“Dalam isu ini walau kita tiada kuasa untuk sekat, untuk kali yang terakhir kita boleh usaha sekat umat Islam dari pergi,” tulisnya di Facebook.

Tambah pendakwah itu, konsert seperti ini jelas bercanggah dengan syariat Islam kerana hiburan melampau, percampuran lelaki perempuan yang tak terkawal dan tanpa batasan.

Lebih teruk, kumpulan ini dikaitkan dengan budaya yang tidak bermoral ditambah sokongan mereka kepada golongan LGBT.

“Kumpulan ini telah jelas menyatakan sokongan kepada golongan LGBT dalam pelbagai cara sepanjang menjadi artis. 

“Buktinya satu laman web San Diego G*y & L*sb*ian New (SDGLN), iaitu laman yang mewakili golongan ini mengiktiraf bahawa kumpulan Coldplay adalah penyokong bagi hak kesamarataan kepada golongan mereka dan membantu dari segi dana.

“Vokalis Coldplay, Chris Martin mendakwa dirinya seorang ‘Alltheist’ (mempercayai tuhan ada pada diri setiap orang dan semua tempat).

“Pada tahun 2017, Coldplay menyumbang sebanyak RM84,850.20 untuk membantu organisasi LGBT di Australia atas tujuan kempen kesaksamaan perkahwinan.

“Chris Martin sering mengibarkan bendera LGBT di konsert-konsert Coldplay sebagai simbolik sokongan terhadap golongan ini. Terbaru konsert di London.

Ujar Ustazah Asma’ lagi, pada tahun 2016, ketika temu bual dengan majalah Rolling Stone, Chris pernah berkata ‘ini tahun 2016 mengapa kita masih bercakap tentang hak g*y seolah-olah ia adalah satu isu?, ia sepatutnya hanya menjadi hak asasi manusia’.

“Walaupun Coldplay mungkin tidak mendakwa secara terang bahawa mereka mengamalkan kehidupan songsang, namun mereka aktif menunjukkan sokongan dan sumbangan kepada golongan tersebut terutamanya melalui komitmen mereka mempromosikan sebagai band artis (mengibarkan bendera di atas pentas ketika persembahan),” katanya.

Tambah Ustazah Asma’, Tidak dinafikan bahawa kumpulan tersebut menyumbang kepada Palestin namun, ia bukanlah tiket untuk membenarkan konsert itu dijalankan.

“Walaupun ada bukti bahawa kumpulan ini ada menyumbang kepada keluarga kita di sana, ia tidak menjadi tiket untuk meneruskan konsert.

“Perlu faham mudarat yang lebih buruk iaitu keruntuhan akhlak orang Islam dan tidak mustahil selepas ini akan ada gerakan, permintaan untuk adakan konsert, pesta maksiat sebegini lagi. Ia boleh jadi jarum halus kepada pengiktirafan perbuatan songsang, liberal dan lain-lain.

“Diharap para pemimpin Islam yang mempunyai Tasawwur Islam yang jelas mengambil amanah ini dengan mengadakan perbincangan yang harmoni, meneliti kembali kesan yang bakal berlaku dan mempertimbangkan untuk tidak meneruskan,” akhirinya.

Author

Pilihan Editor