CYBERJAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan, 16 November ini kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ketetapan itu dibuat selepas sesi pemeriksaan dan penilaian keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis lalu.
Beliau berkata, sesi penilaian berkenaan turut disertai oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.
“Pihak PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada pihak konsultan teknikal serta kontraktornya menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu dan sedia untuk digunakan pada 16 November depan.
“Selain itu, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini juga mengambil kira faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, Pan Gon dalam kenyataan pada Jumaat turut mahukan aksi menentang Kyrgyzstan kekal berlangsung di SNBJ.
Katanya, dengan pengesahan terbaharu itu, segala persiapan menjelang perlawanan terbabit akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancarannya.
Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan itu, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November 2023.