HomeBeritaMahkamah & JenayahSPRM beku akaun Aman Palestin

SPRM beku akaun Aman Palestin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00 semalam.

Perkara tersebut susulan siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

“Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” kata SPRM dalam kenyataan pada Khamis.

SPRM turut merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh NGO yang mengutip wang derma untuk rakyat Palestin tertumpu kepada penelitian dokumen membabitkan dana wang itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, ia tindakan di peringkat awal siasatan sebelum pihaknya memanggil individu yang terbabit bagi rakaman keterangan.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh Aman Palestin dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut.

 

Author

Pilihan Editor