PUTRAJAYA: Penghantaran sukarelawan Malaysia ke Genting Gaza susulan gencatan senjata perang Israel-Palestin di Gaza selama empat hari, akan bergantung kepada persetujuan bersama Negara Arab dan Islam yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini Malaysia juga terbuka untuk menghantar sukarelawan ke negara bergolak itu.
“Ia terserah kepada keputusan bersama. Kita terbuka untuk menghantar (sukarelawan). Apa pun kita setuju.
“Cuma ia tertakluk kepada persetujuan kita dengan negara Arab dan juga Negara Islam. Terutamanya negara-negara sekitar Palestin,” katanya ketika ditanya pemberita selepas solat Jumaat dan makan tengah hari di Surau Al Furqan, Presint 11, di sini hari ini.
Mengulas mengenai gencatan senjata selama empat hari itu, Anwar menjelaskan, situasi itu kekal membimbangkan walaupun ia sedikit melegakan.
“Ia melegakan sedikit tetapi kita berdepan dengan rejim yang ganas dan kegiatan keganasan mereka itu sangat membimbangkan kita,” katanya.
Laporan antarabangsa melaporkan, gencatan senjata perang Israel-Palestin di Gaza selama empat hari akan bermula hari ini dan pertukaran tebusan dan tahanan akan menyusul beberapa jam kemudian, kata pengantara Qatar.
Perjanjian gencatan senjata yang difasilitasi oleh Qatar dengan bantuan Mesir dan Amerika Syarikat (AS) sepatutnya berkuat kuasa semalam tetapi ditangguhkan selepas halangan saat akhir.
“Jeda akan bermula pada 7 pagi (0500 GMT) pada Jumaat (1 tengah hari waktu Malaysia)… dan kumpulan pertama tebusan awam akan diserahkan kira-kira jam 4 petang (1400 GMT) (10 malam waktu Malaysia),” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari semalam.
Pada peringkat permulaan, 13 orang akan dibebaskan membabitkan wanita dan kanak-kanak daripada keluarga sama, kata Ansari pada sidang akhbar di Doha. – Berita Harian