CYBERJAYA: Seorang rakyat Palestin menasihatkan orang ramai supaya hentikan elemen menconteng wajah atau mekap ilustrasi sebagai tanda menyokong Palestin.
Menurut Yousof, tindakan menconteng wajah itu amat tidak bersesuaian dengan umat Islam.
“Janganlah mekap Halloween, conteng sana sini di muka, di leher.
“Saya tengok saya geli. Letak macam darah di leher, kita orang Islam. Tak payah ikut cara luar,” tegasnya menerusi siaran langsung bersama pempengaruh media sosial, Hazeman Huzir baru-baru ini.
Dalam pada itu, Yousuf berharap orang ramai kekal istiqamah berkongsi serta menyebarkan segala maklumat berhubung kekejaman rejim Israel terhadap bumi Gaza.
“Sekarang ini saya nak orang Malaysia fokus dekat sosial media sebab benda ini (perkongsian di sosial media), sebab ada orang cakap kalau saya muat naik (kekejaman Israel) apa saya dapat, tak ada orang kisah pun.
“Tidak, kalau semua post (muat naik), saya post, awak post, kita boleh tunjuk pada dunia apa mereka (Israel) buat pada kami (Palestin).
“Macam mana budak kecil di sana (Gaza) mati, macam mana situasi rakyat di sana, keadaan bangunan di sana. Kita boleh tunjuk bukti dan situasi sebenar kepada semua orang. Ini bukan suatu yang kecil, tapi sangat penting,” ujarnya.