HomeBeritaTaska disita selepas bayi lelaki tidak sedarkan diri

Taska disita selepas bayi lelaki tidak sedarkan diri

MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mendapati taman asuhan kanak-kanak (taska) yang menjaga bayi lelaki berusia 12 bulan yang dikatakan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba pada Selasa, tidak berdaftar.

Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanafiah, berkata daripada pemeriksaan dijalankan pihaknya mendapati premis yang terletak di Pertam Jaya itu beroperasi secara tidak sah kerana tidak mempunyai lesen.

“Justeru itu semalam (Khamis) kita mengambil tindakan LAK atau sita ke atas premis terbabit dan pengusaha mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat perakuan bagi membolehkan premis itu dibenarkan kembali beroperasi.

“Tindakan itu diambil di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati taska berkenaan baru berpindah dan beroperasi di premis itu pada Ogos lalu.

“Sebelum ini taska terbabit beroperasi di lokasi lain dan mempunyai lesen sehingga 2026 tetapi terbatal selepas ia berpindah ke premis baharu.

“Di premis baharu ini ia tidak berdaftar,” katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, berkata JKM diminta untuk turun padang bagi mengenal pasti taska atau pusat jagaan yang beroperasi tanpa lesen.

“Saya arahkan JKM untuk turun padang dan memeriksa setiap taska yang beroperasi sama ada berdaftar atau tidak.

“Saya faham ada di antara premis ini masih dalam proses memohon lesen dan menunggu kelulusan.

“Jadi, saya juga akan mengadakan perbincangan bersama JKM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca terdapat permohonan yang mengambil masa agak lama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru kepada ibu bapa khususnya golongan muda agar terlebih dahulu membuat semakan ke atas taska yang ingin atau dipilih mereka untuk menghantar anak.

Media sebelum ini melaporkan, bayi lelaki berusia 12 bulan mengalami pendarahan di kepala selepas tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di sebuah taska di Pertam Jaya, Semabok.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa bayi terbabit pada 12.30 tengah hari, Selasa. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor