HomeBeritaTerengganu banjir, 184 mangsa pindah ke PPS

Terengganu banjir, 184 mangsa pindah ke PPS

KUALA TERENGGANU: Seramai 184 mangsa daripada 67 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Terengganu dalam kejadian banjir gelombang pertama setakat pukul 12 tengah, pada Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, 124 orang daripada 54 keluarga kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Tok Jembal di Kuala Nerus.

Manakala satu lagi PPS di Kuala Nerus iaitu di Dewan Flat Batin Perdana pula menempatkan 25 mangsa daripada empat keluarga.

Dalam pada itu, seramai 35 mangsa daripada sembilan keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di daerah Kuala Terengganu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, secara umumnya, hujan turun menyeluruh di negeri Terengganu bermula awal pagi tadi.

“Penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200 milimeter (mm) di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 100 mm di sekitar daerah Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang,” katanya memetik Utusan.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi arahan penutupan jalan yang telah dinaiki air dan menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka kerana kita tidak mahu berlakunya sebarang insiden termasuk kehilangan nyawa dalam tempoh bencana kali ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor