HomeBeritaPolitikTerpalit kes Siti Mastura, Isham Jalil dihubungi Bukit Aman

Terpalit kes Siti Mastura, Isham Jalil dihubungi Bukit Aman

CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendedahkan bahawa beliau dihubungi pihak polis berhubung kenyataan Dr Siti Mastura Muhammad, yang mengaitkan pemimpin DAP dengan ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Menurut Isham, Siti Mastura yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas memaklumkan bahawa, maklumat tersebut diperoleh daripada satu risalah yang dipercayai dikeluarkan Barisan Nasional (BN) Comms.

Namun, Isham berkata, beliau tidak mengetahui sama ada beliau turut disiasat pihak polis.

“Mungkin sebab saya Ketua Penerangan UMNO. Manalah tau kot ketika itu saya tahu risalah tersebut dikeluarkan. Saya Ketua Penerangan UMNO. Dulu UMNO dengan BN Comms ni lain. Saya tak jaga BN Comms.

“Malah, benda ni berlaku sebelum PRU (Pilihan Raya Umum). Sebelum PRU saya bukan Ketua Penerangan UMNO.

“Apa-apa pun, saya tak rasa benda macam ini dan risalah ini BN yang keluarkan. Tapi, biarlah polis siasat.

“Macam dalam UMNO, BN, saya dah biasa kena siasat dan tiada masalah, ” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Pada masa sama, Isham menasihati Siti Mastura supaya memeriksa kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Awak mungkin tersilap cakap ke apa, saya tak tahulah. Cuma jangan takut, bagi kerjasama dengan polis dan biar polis siasat. Beritahu polis mana awak dapat benda tu.

“Saya pun tak tahu tapi jangan tuduh saya atau orang lain. Saya tak cakap awak tuduh saya tapi tiba-tiba Bukit Aman call saya,” katanya.

Terdahulu, Siti Mastura yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang dalam satu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai sepupu Chin Peng.

Lantaran itu, beberapa laporan polis dibuat ke atas Siti Mastura dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siti Mastura telah dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis pada 14 November lalu.

 

Author

Pilihan Editor