HomeBeritaTol percuma 11-12 November sempena Deepavali

Tol percuma 11-12 November sempena Deepavali

CYBERJAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, tol percuma akan diberikan kepada pengguna lebuh raya bermula Sabtu hingga Ahad sempena sambutan Deepavali.

Menurutnya, pelaksanaan pemberian tol percuma itu bermula pada 11 November 2023 (Sabtu) jam 12.01 tengah malam sehingga 12 November 2023 (Ahad) jam 11.59 malam.

Tambahnya, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol dekat sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Jelasnya, inisiatif itu dilaksana bagi meraikan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

“Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

KKR menganggarkan jumlah trafik dalam masa dua hari adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

Dengan pelaksanaan tol percuma, KKR menasihatkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang tersebut selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.

Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuhraya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Author

Pilihan Editor