CYBERJAYA: Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus didakwa tidak dibenarkan menyampaikan kuliah agama di Pulau Pinang.
Pendedahan itu dibuat Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Muhammad Jan yang turut mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan semula keputusan penyekatan asatizah itu supaya keharmonian rakyat di negeri ini dipelihara.
Katanya, PAS Pulau Pinang menitikberatkan isu sekatan terhadap asatizah untuk menyampaikan kuliah di negeri ini yang menggunakan alasan tauliah.
“Sekatan yang sebenarnya dilihat sangat berunsurkan politik terutamanya daripada pengajar-pengajar yang dikatakan cenderung kepada parti politik pembangkang menggambarkan satu keputusan yang sangat membangkitkan kemarahan rakyat negeri Pulau Pinang.
“Yang terbaru, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus pula menjadi mangsa ketidakbijakan pencatur politik apabila beliau disekat dari menyampaikan kuliah di tiga lokasi di Pulau Pinang,” katanya memetik laporan Kosmo pada Ahad.
Bukan Ustaz Azhar Idrus sahaja terpalit dengan isu ini kerana pada Oktober lalu, pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias mengesahkan beliau telah menerima arahan tidak dibenarkan lagi memberi kuliah di Pulau Pinang selepas 33 tahun berceramah di negeri itu.
Perkara itu dimaklum beliau menerusi satu video dipercayai dirakam selepas kuliah terakhir beliau di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, di Georgetown.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghalang individu tertentu menyampaikan kuliah agama di negeri berkenaan.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam berkata, setiap larangan yang dikeluarkan adalah berdasarkan garis panduan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).