KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir telah mengesahkan identiti Mr H ketika rakaman percakapan dilakukan di Bukit Aman, hari ini.
Wahab difahamkan tiba di Bukit Aman pada pukul 11.30 pagi sebelum tamat rakaman percakapan pada pukul 2.30 petang.
Wakil peguam Faizal Abd Rahman berkata, anak guamnya telah beri keterangan dan mengesahkan bahawa identiti yang Mr H adalah orang yang sama seperti yang dilaporkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
“Wahab telah sahkan identiti Mr H adalah orang yang sama pada pihak polis.
“Hari ini Wahab datang sebagai saksi berikutan laporan polis yang dibuat Prof Dr. Agus,” katanya kepada pemberita di hadapan Bukit Aman, di sini, hari ini.
Ketika ditanya berhubung identiti Mr H, Faizal hanya memaklumkan individu tersebut bertugas di J-KOM namun enggan mengulas lanjut.
Tambah Faizal, keadaan kesihatan Wahab masih stabil namun masih memerlukan bantuan perubatan ekoran kemurungan yang dialaminya baru-baru ini.
Jelas beliau, Wahab akan membuat laporan polis terhadap Mr H dalam masa terdekat.
“Wahab akan buat laporan polis sama ada esok atau lusa, tidak dijangka di (balai polis) mana namun dijamin (kes ini) akan selesaikan secepat mungkin.
“Dia (Wahab) masih lagi dalam ketakutan, tetapi keadaannya stabil,” katanya.
Terdahulu, Abdul Wahab dilaporkan mengalami kemurungan dan perlu sedikit masa untuk tampil beri keterangan kepada polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya berusaha menjejaki Abdul Wahab ekoran selepas usaha menghubungi gagal apabila telefon bimbit dimatikan.
“Kita sedang mengesannya kerana dia saksi penting dalam siasatan ini,” ujarnya.
Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.
Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan. – Kosmo!