HomeBeritaWahab tampil buat laporan terhadap Mr H

Wahab tampil buat laporan terhadap Mr H

KAJANG: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir hari ini tampil di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, di sini, bagi membuat laporan polis terhadap Mr H.

Peguamnya, Faizal Abd Rahman berkata, siasatan terbabit adalah mengenai klip video tular bersama maklumat yang lain.

“Pertamanya, kita buat laporan terhadap Mr H. Siasatan meliputi video dan perkara-perkara tambahan yang lain.

“Keterangan hari ini lebih lama berbanding semalam (di Bukit Aman), kerana semalam dia (Abdul Wahab) datang sebagai saksi manakala hari ini pula sebagai pengadu.

“Dari pukul 11 pagi beri keterangan dan kes yang diadukan adalah sama, cuma skop serta soalan siasatan lebih luas termasuk keberadaan beliau sebelum dan selepas di J-Kom,” ujarnya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Faizal ketika ditanya, enggan mendedahkan identiti sebenar Mr H dan menyerahkan perkara itu kepada polis.

“Pihak polis lebih sesuai untuk dedah siapa Mr H. Setakat semalam dan hari ini, kita telah beri kerjasama penuh dan saya tak nampak kenapa kertas siasatan perlu ditangguhkan lebih lama.

“Saya gembira mendengar respons Ketua Polis Negara bahawa esok kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara. Jadi, kita nantikan tindakan lanjut,”ujarnya.

Sehubungan itu, Faizal juga berharap kes ini segera diselesaikan berikutan ia juga memberi impak kepada individu lain yang tidak terlibat.

“Sebelum ini, pada 17 November, Wahab ada mendedahkan nama-nama individu terlibat namun selepas diteliti hanya Mr H yang menjadi dalang.

“Ia tidak adil untuk memberi nama mereka yang tak terlibat dalam kes ini,” jelasnya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor