HomeBerita'You touch, you go' - MARA tak kompromi kes buli di MRSM

‘You touch, you go’ – MARA tak kompromi kes buli di MRSM

CYBERJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli jika dikesan berlaku dalam kalangan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki itu menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali menutup sebarang perilaku curang yang dilakukan oleh mana-mana pelajar walaupun anak orang kenamaan.

“Maaf, MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk kes buli di MRSM, jauh sekali untuk menutup sebarang perilaku curang.

“Biarlah anak VIP atau VVVIP mana sekalipun, you touch you go (anda buli, anda akan disingkir),” tegasnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat dipercayai bagi mengulas kejadian buli yang sebelum ini tular di sebuah sekolah berasrama elit di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM).

Pada Rabu, KPM turut menegaskan tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

KPM dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil perhatian laporan media mengenai kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh yang tular, namun tidak menjelas bentuk tindakan diambil dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu, KPM berkata, tiga saluran utama disediakan bagi membolehkan orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual di sekolah iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, emel adubuli@moe.gov.my dan aduan buli dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berpandukan hantaran yang tular di media sosial, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku buli terbabit yang dikatakan sekadar diarah berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah, berbanding tindakan tegas seperti buang sekolah, walaupun mangsa kejadian itu mengalami kecederaan.

Menyusuli kejadian itu, PIBG MCKK dalam kenyataan di Facebook, mendakwa kes buli itu sudah selesai disiasat dan diambil tindakan secara dalaman oleh pentadbiran sekolah.

Justeru itu, PIBG MCKK mengambil beberapa pendirian termasuk menganggap keputusan sekolah dianggap telus tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Namun, tindakan PIBG MCKK menyelar ibu bapa pelajar yang mendedahkan kejadian itu atas alasan mencemar nama baik sekolah mengundang kecaman orang ramai khususnya menerusi media sosial.

Author

Pilihan Editor