KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memutuskan untuk tidak menyertai program Road to Gold (RTG) kerana merasakan dirinya tidak memerlukan sokongan tambahan yang ditawarkan dalam program berkenaan.
Sekretariat RTG dalam satu kenyataan, berkata perkara itu dimaklumkan pasukan Zii Jia (Team LZJ) selepas satu sesi perbincangan secara dalam talian yang diadakan hari ini.
“Pihak sekretariat RTG mengadakan pertemuan atas talian dengan Team LZJ hari ini dan memutuskan bahawa Lee Zii Jia tidak akan bersama dengan program RTG.
“Menerusi pertemuan hari ini, Team LZJ yang diwakili jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng dan Liew Daren bersama-sama kakak yang juga pengurusnya, Lee Zii Yii memaklumkan keputusan berkenaan selepas membuat pertimbangan sewajarnya dan rujukan secara dalaman bahawa Lee Zii Jia tidak memerlukan servis tambahan yang ditawarkan RTG.
“Bagaimanapun, Team LZJ memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara menuju ke Sukan Olimpik Paris tahun depan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Zii Jia memutuskan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai RTG.
Menurut Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG, pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet untuk bersetuju bagi menyertai program RTG.
Sebelum ini, Hannah memaklumkan Zii Jia adalah satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG masih belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.
Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga hari ini bagi melengkapkan komitmen berkenaan. – Berita Harian