HomeBeritaMahkamah & Jenayah28 individu kantoi pesta liar di inap desa

28 individu kantoi pesta liar di inap desa

 

KUANTAN: Seramai 28 individu ditahan ketika berpesta liar di inap desa di Jalan Lama Bentong, Tras, Bentong, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bentong pada 12.05 tengah malam dan dan berumur antara 19 dan 44 tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, 12 lelaki adalah warga tempatan manakala 13 wanita Thailand dan tiga wanita Laos yang memasuki negara ini sebagai pelancong.

“Siasatan awal mendapati parti liar itu dianjurkan seorang daripada 12 lelaki terbabit antaranya pekebun durian.

“Tiada rampasan dilakukan di homestay (inap desa) terbabit selepas pemeriksaan fizikal terhadap semua suspek.

“Namun, hasil saringan awal dadah mendapati 28 individu terbabit positif dadah jenis amphetamine dan ketamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah 1952,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, siasatan mendapati inap terbabit disewa pada harga RM4,000 sehari.

Katanya, 28 individu terbabit akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong, hari ini. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor