HomeBeritaMahkamah & JenayahAdik lelaki, rakan serumah ditahan reman 7 hari dipercayai terlibat bunuh kakak

Adik lelaki, rakan serumah ditahan reman 7 hari dipercayai terlibat bunuh kakak

 

JOHOR BAHRU: Dua suspek yang disyaki membunuh seorang wanita warga Indonesia di Taman Ungku Tun Aminah, di sini ditahan reman stujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Nur Khalida Farhana Abu Bakar.

Katanya, salah seorang suspek merupakan adik lelaki mangsa yang berusia 24 tahun, manakala seorang lagi suspek wanita yang berusia 41 tahun merupakan rakan serumah mereka.

Polis menahan suspek wanita di lokasi kejadian mayat mangsa ditemukan manakala suspek lelaki ditahan di tempat pembuangan sampah kawasan perumahan itu.

“Mangsa dipercayai dibunuh dengan senjata tajam pada pukul 2.30 pagi, Ahad lalu. Kedua-dua suspek ditahan pada hari sama. Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan, bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-6943836,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor