KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan mengadakan perbincangan dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) berhubung isu pemotongan bekalan air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tasik Selatan 1, baru baru ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata beliau dimaklumkan pemotongan bekalan air itu dilakukan kerana pemindahan meter pukal yang digunakan sebelum ini kepada meter individu.
“Oleh itu, Air Selangor akan berbincang dengan JMB supaya pada masa depan, setiap unit itu diberikan meter individu dan bertanggungjawab atas meter masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Bazar Rakyat, Seri Kembangan, hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan sikap majoriti penduduk PPR yang culas membayar bil penyelenggaraan bulanan sebanyak RM50, dikatakan punca seluruh penduduk pangsapuri itu berdepan pemotongan bekalan air.
Pemangku Pengerusi JMB PPR itu, Hashim Saad, mendedahkan pihak pangsapuri perlu menyelesaikan sekurang-kurang RM136,000 daripada RM244,580.65 tunggakan penuh, bagi mengelak bekalan air dipotong.
Beliau dipetik berkata, ketika ini pihak pengurusan tiada dana mencukupi apabila baki dalam akaun bank hanya RM10,000, selain RM5,000 wang tunai di pejabat.
Difahamkan hingga kini, Air Selangor terpaksa menanggung tunggakan bil air yang tinggi, terutama di kawasan Lembah Klang yang sudah mencecah RM30 juta berikutan penggunaan meter pukal di perumahan berstrata dan kuarters kerajaan.
Pemilik atau penghuni kediaman terbabit dikenakan bayaran secara prorata yang dikutip JMB premis berkenaan sebelum membayarnya kepada syarikat utiliti air, manakala penghuni perumahan berstrata tidak melakukan migrasi daripada meter pukal kepada meter individu.
Malah, pihak pengurusan kediaman seperti JMB atau Perbadanan Pengurusan (MC) turut menghadapi kesukaran menghubungi pemilik unit untuk menyertai program migrasi meter.
JMB atau MC turut menghadapi kekangan kewangan sehingga situasi itu mengganggu urusan penambahbaikan tetiang meter mengikut spesifikasi ditetapkan Air Selangor.
Sementara itu ditanya mengenai nasib 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak, yang dilaporkan terpaksa mengosongkan tanah kampung itu dalam tempoh 18 bulan pula, Kor Ming berkata, pihaknya tidak mengetahui secara khusus mengenai masalah berkenaan.
“Saya tidak mendapat maklumat spesifik mengenai isu ini. Saya akan mendapatkan laporan lanjut, dan kerajaan akan cuba menghulurkan bantuan,” katanya. – Berita Harian