CYBERJAYA: Usaha mengekang segera isu kartel yang semakin berleluasa boleh dilaksanakan, apabila pasukan pakar forensik daripada pelbagai agensi yang pernah ditubuhkan sebelum ini diaktifkan semula.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abd Karim berkata, strategi lebih ampuh amat diperlukan agensi penguatkuasaan, bagi memastikan isu kartel dalam sesuatu sektor atau industri dapat ditangani sewajarnya.
Beliau berkata, kenyataan bahawa 500 syarikat di Malaysia sedang berada di bawah penelitian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), berikutan didakwa membentuk kartel untuk memanipulasi projek tender kerajaan adalah amat serius.
Pada masa sama, katanya, strategi melibatkan pemilik syarikat berkahwin dengan beberapa isteri untuk menggunakan nama sebagai proksi memberi impak negatif terhadap persaingan yang adil.
Malah, Jais menegaskan, penipuan cara itu sama besar dengan ancaman rasuah.
“Isu kartel melibatkan aspek yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam daripada pelbagai perspektif.
“Pasukan pakar forensik pelbagai agensi itu pasti akan dapat mengesan dan memberikan impak besar dengan tindakan perundangan lebih tegas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Jais berkata, pasukan forensik itu juga perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang, untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan serta tindakan tegas dapat dilakukan segera.
Beliau berkata, perlindungan kepada pemberi maklumat atau whistleblower juga perlu diperkemas, dengan jaminan keselamatan bakal merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan aktiviti mencurigakan.
Katanya, penglibatan awam dan program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti juga dapat membina tekanan positif untuk mencapai ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diinginkan.
“Kes-kes yang berulang kali dilaporkan mengenai kartel memanipulasi tender kerajaan adalah amat mengecewakan terutama ketika ramai rakyat sedang berdepan dengan kegawatan ekonomi yang serius.
“Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara,” katanya.
Terdahulu, lebih 500 syarikat dilapor berada dalam radar MyCC kerana dipercayai membentuk kartel untuk membida tender projek kerajaan.
Modus operandi antara lain termasuk ada pemililik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri, yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.