HomeBeritaMahkamah & JenayahAktivis seleweng sumbangan awam, polis tunggu maklumat pihak bank

Aktivis seleweng sumbangan awam, polis tunggu maklumat pihak bank

 

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu maklumat daripada pihak bank berhubung dakwaan penyelewengan wang sumbangan awam berjumlah RM100,000 oleh seorang aktivis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kes berkenaan masih di peringkat awal siasatan.

“Kita (polis) perlukan maklum balas daripada pihak bank terlebih dahulu sebelum pergi kepada saksi-saksi lain (rakam keterangan),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan siasatan kes itu sebaik maklum balas diterima yang dipercayai mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

Bagaimanapun, katanya, polis akan berhubung dengan pihak bank bagi mempercepatkan proses mendapatkan dokumen berkaitan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang aktivis didakwa menyeleweng dana sumbangan dan pengurusan kematian membabitkan wang lebih RM100,000.

Peguam Hafiz Norkhan dilaporkan berkata, aktivis itu didakwa menipu beberapa individu termasuk sumbangan orang ramai kepada keluarga arwah Dea Maisarah berjumlah lebih RM53,000.

Beliau mendakwa wang itu diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikendalikan oleh aktivis itu. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor