HomeBeritaAman Palestin tidak boleh keluar dana hingga siasatan selesai - SPRM

Aman Palestin tidak boleh keluar dana hingga siasatan selesai – SPRM

CYBERJAYA: Aman Palestin tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang dana, yang kini dibekukan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga siasatan selesai dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya masih menyiasat kesahihan sumber transaksi dan tuntutan melibatkan akaun Aman Palestin.

Menurut beliau, siasatan terhadap akaun Aman Palestin itu merupakan perkara serius kerana melibatkan kepentingan awam.

Justeru, Azam berkata, SPRM tidak boleh sewenang-wenangnya menyahbeku 41 akaun Aman Palestin itu sehingga siasatan selesai.

Katanya, kes tersebut perlu dijadikan teladan bagaimana derma awam digunakan.

“Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam.

“Berhubung akaun Aman Palestin yang dibekukan, SPRM masih menyiasat kesahihan transaksi dan tuntutan sebelum ini.

“Dalam isu berkenaan (gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad), SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana itu sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan diperolehi berhubung penggunaan terhadap derma awam berjumlah jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa SPRM membenarkan dana sebanyak RM10 juta yang dibekukan dalam akaun Aman Palestin disalurkan untuk penduduk di Gaza.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, bantuan dana RM10 juta itu termasuk kepada penduduk lain di Semenanjung Arab adalah penting dengan kehadiran musim sejuk.

Jelasnya, SPRM boleh terus melakukan siasatan namun dana tersebut perlu dibenarkan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata, SPRM boleh menghantar pegawai bagi mengiringi wakil Aman Palestin, yang diamanahkan untuk menyalurkan dana tersebut.

Tegasnya, sekiranya SPRM tidak berbuat demikian, agensi tersebut dilihat turut sama mendera rakyat Palestin yang sedang menderita akibat kekejaman Israel.

SPRM membekukan 41 akaun Aman Palestin dan beberapa syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah lebih RM15 juta.

Isnin lalu, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM menyah-beku akaunnya atau berdepan tindakan perundangan.

 

Author

Pilihan Editor