KECOH di media sosial mengenai pendedahan pempengaruh, Aisyah Hijanah bahawa segala aset harta sepencarian bersama suaminya, Alif Teega, termasuklah 100 peratus saham syarikat, rumah, kereta dan lain-lain kini miliknya susulan satu perjanjian yang telah ditandatangani mereka.
Tindakan yang dilakukan Aisyah itu bukan sahaja kelihatan profesional, malah secara tidak langsung, membuka minda para isteri supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan lebih-lebih lagi saat emosi tidak stabil.
Dari kisah Aisyah ini, pasti ramai pihak khususnya wanita mula berminat untuk mengetahui informasi mengenai tuntutan harta sepencarian kerana ia boleh dianggap sebahagian ilmu berumah tangga dan mungkin menjadi ‘payung’ persediaan di masa hadapan kelak.
Justeru itu, bagi mengupas lebih lanjut tentang tuntutan harta sepencarian, jom ikuti perkongsian seorang Peguam Syarie, Roslina Sabiyah & Co berhubung isu ini.
Isteri boleh menuntut harta sepencarian jika berdepan tiga situasi ini dalam rumah tangga iaitu:
- Perceraian
- Poligami
- Berlaku kematian
Setiap situasi ini berbeza prosesnya.
Pertama: Harta Sepencarian yang dituntut akibat perceraian
- Pihak yang akan jadi plaintif dan defendan adalah pasangan suami isteri yang bercerai sahaja tanpa melibatkan orang lain.
- Jika terbukti memang harta tersebut diperolehi dalam tempoh perkahwinan, harta tersebut memang boleh diisytihar sebagai HS.
- Isu yang timbul hanyalah melibatkan berapa bahagian setiap orang akan dapat. Contohnya, jika ada bukti sumbangan akan dapat 50 peratus, jika tiada bukti sumbangan (surirumah/sumbangan tak langsung) akan dapat juga 30 peratus. Portion HS tu Mahkamah yang akan tentukan selepas mendengar keterangan kedua-dua belah pihak.
- Kalau terbukti, harta tu diperolehi sebelum perkahwinan dan tiada bukti sumbangan untuk mengembangkan harta tersebut oleh pasangan yang menuntut, maka pasangan tersebut tidak berhak ke atas harta sepencarian tersebut.
Kedua: Harta Sepencarian yang dituntut akibat poligami
- Biasanya yang tuntut HS adalah isteri pertama dan suami akan jadi defendan.
- Boleh dituntut semasa suami failkan permohonan poligami di mahkamah ataupun pada bila-bila masa sahaja selepas isteri pertama mengetahui yang suaminya berkahwin poligami.
- Hanya boleh tuntut terhadap harta yang diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan dengan isteri pertama tersebut.
- Mahkamah akan tentukan portion HS berdas
- Arkan keterangan dan bukti-bukti oleh kedua-kedua belah pihak
Ketiga: Harta Sepencarian yang dituntut akibat kematian
- Proses ini paling rumit sekali.
- Hanya pasangan kepada si mati sahaja yang boleh menuntut (anak, ibubapa, adik-beradik kepada si mati tak boleh tuntut harta sepencarian).
- Balu tersebut perlu memohon sijil faraid di mahkamah syariah terlebih dahulu untuk memastikan siapa waris-waris si mati kerana harta tersebut dah jadi harta pusaka.
- Balu si mati akan jadi plaintif dan semua waris-waris faraid si mati akan dinamakan sebagai defendan.
- Permohonan faraid dan harta sepencarian tersebut perlu diserahkan kepada semua waris-waris si mati supaya proses permohonan pusaka akan jadi telus dan waris-waris maklum dengan permohonan tersebut.
- Waris-waris dipanggil ke mahkamah bukannya untuk dapatkan kebenaran mereka sebab balu tu memang akan dapat juga hak ke atas harta sepencarian tu melainkan prosedur tersebut hanyalah untuk memaklumkan kepada waris-waris supaya tidak timbul isu di kemudian hari.
- Jadi jangan pelik jika ada balu yang saman mak ayah mertua atau adik-beradik si mati di mahkamah. Itu hanyalah prosedur biasa dalam permohonan faraid dan harta sepencarian selepas kematian.
- Biasanya balu boleh dapat portion 50 peratus daripada harta yang dituntut dan baki 50 peratus lagi barulah akan difaraid kepada semua waris-waris si mati termasuklah balu tu pun akan dapat bahagian faraidnya juga.
Sumber: Mingguan Wanita