PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada jam 11 pagi ini.
Perdana Menteri berkata, rombakan itu bakal menyaksikan perubahan pada beberapa portfolio.
“Saya akan umum pada jam 11 pagi ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Ditanya kemungkinan akan ada pertambahan anggota jemaah menteri pada Kabinetnya, Anwar berkata, akan berlaku sedikit pertambahan.
“Saya akan memindahkan sedikit daripada tugas saya,” katanya dipercayai merujuk kepada portfolio Menteri Kewangan.
BH semalam melaporkan, Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet hari ini.
Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan yang terbabit dengan rombakan itu pula dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pada jam 2.30 petang.
Majlis yang akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disenaraikan oleh Bernama untuk liputan media rasmi sahaja. – Berita Harian