PETALING JAYA: Bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi akan terus menjadi ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila melanjutkan kontraknya bersama kelab itu sehingga 2028.
Arif Aiman yang mula mendapat tempat dalam skuad utama JDT pada 2020 terus mempamerkan kredibilitinya sebagai salah seorang pemain sayap yang berbahaya di Liga Super dengan meledak 12 gol untuk musim ini.
Justeru, Arif Aiman, 21, mahu terus melakar lebih banyak kejayaan bersama JDT selepas membantu gergasi Harimau Selatan itu mempertahankan gelaran Liga Super untuk 10 tahun berturut-turut.
“Terima kasih Tunku (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atas segalanya.
“Alhamdulillah. Saya berbesar hati mendapat peluang bersama JDT untuk beberapa tahun lagi. Saya bangga dan gembira berada di kelab ini sejak hari pertama.
“Saya akan cuba menjadi lebih baik dari tahun ke tahun, InsyaAllah. 2023 adalah tahun yang memberikan lebih banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan bersama kelab ini,” jelas Arif Aiman.
Untuk rekod, Arif Aiman pernah merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk dua tahun berturut-turut pada 2021 dan 2022. – Utusan